Sembilan kontena arak bernilai RM2.6 juta dirampas

0
602

PETALING JAYA: Sembilan kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai RM5.6 juta termasuk cukai, dirampas disyaki melibatkan sindiket penyeludupan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 12 Jun lepas.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkarnain Mohamed Yusuf berkata hasil pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu menemui pelbagai jenis arak dipercayai tidak mendapat kelulusan kastam.

Beliau berkata pihaknya melakukan rampasan kesemua arak berkenaan yang dianggar bernilai RM2.6 juta melibatkan kuantiti rampasan sebanyak 165,000 liter minuman keras.

“Rampasan ini turut membawa kepada penemuan modus operandi baharu pihak sindiket dipercayai melibatkan warga asing yang mendapat bantuan ejen perkapalan bagi tujuan penyeludupan,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Zulkarnain berkata ejen perkapalan terbabit didapati turut bersekongkol dengan memanipulasi data sistem di pelabuhan bagi mengaburi pihak kastam.

“Mereka ini didapati menggodam kata laluan sistem pelabuhan pegawai kastam bagi meminda status kontena yang ditahan kepada ‘release’,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti ejen perkapalan yang terlibat sementara tindakan lanjut sedang dilaksana bagi mengesan ejen lain bagi membantu siasatan.

Zulkarnain berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here