Sembilan lelaki termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah tunggang motosikal secara berbahaya

0
89

PORT DICKSON, 23 Jun — Sembilan lelaki termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini di atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di sini, Ahad lepas. 

Kesemua tertuduh Muhammad Fitri Nasruddin, 19, Muhammad Alif Mohd Noor, 21, M. Vinot, 23, S. Darshan, 23, Rizki, 24, Muhammad Aliff Adnan, 24, dan tiga lagi tertuduh bawah umur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib. 

Berdasarkan pertuduhan itu, kesemua tertuduh pada Ahad lepas kira-kira pukul 2.30 pagi hingga 3.30 pagi di Jalan Bypass Port Dickson di sini sebagai penunggang motosikal telah menunggang motosikal secara melulu yang berbahaya kepada awam.

Kesemua tertuduh didapati telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan jika lesen memandu percubaan ia boleh dibatalkan.

Tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi yang mengendalikan kes ini.

Vinot, Darshan dan dua tertuduh bawah umur diwakili peguam K. Sheela manakala Muhammad Fitri, Muhammad Alif Adnan, Muhammad Alif Mohd Noor dan seorang tertuduh bawah umur diwakili peguam Veni Paul. Sementara itu, seorang daripada tertuduh iaitu Rizki yang merupakan warganegara Indonesia tidak diwakili peguam. 

Majistret kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh kecuali Rizki diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 27 Julai ini.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here