‘Semoga pengakhiran yang baik’

0
422

JOHOR BAHRU: Keluarga remaja basikal lajak yang maut dalam kemalangan pada 18 Februari 2017, mengharapkan pengakhiran yang baik sekali gus menutup tragedi empat tahun lalu.

Mereka terharu dan syukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini yang meminta tertuduh membela diri berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Shahanaz Sulaiman mengarahkan Sam Ke Ting, 26, membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, sekali gus mengetepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan tertuduh.

Keputusan itu dibuat ketika prosiding keputusan rayuan pendakwaan terhadap perintah berkenaan di sini, hari ini.

Nur Cahaya Amrun, 40, yang juga ibu kepada seorang daripada remaja, Fauzan Halmijan, 13, yang meninggal dunia, berkata keluarganya berdepan tekanan emosi dan trauma berikutan dilemparkan pelbagai tuduhan termasuk tidak pandai menjaga anak.

Katanya, kecaman terutama di media sosial sangat mengguris hati ahli keluarga mangsa terkorban di saat mereka kehilangan anak yang dijaga sejak kecil.

“Saya diarahkan hadir ke mahkamah oleh polis semalam. Sebenarnya kami keberatan, namun hadir bagi memberikan kerjasama.

“Sebagai keluarga, kami mahu kes ini ada penutupnya. Tidak kiralah apa keputusan yang terbaik, kami terima dengan terbuka.

“Anak kami pun sudah empat tahun meninggal, hari ini pula genap empat tahun tragedi berlaku,” katanya ketika ditemui.

Tragedi menyayat hati itu berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Remaja yang maut dalam tragedi berkenaan adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sementara itu, seorang lagi ibu mangsa, Faizah Ishak, 45, berkata besar harapannya supaya kes terbabit selesai segera.

“Saya harap sangat perbicaraan di mahkamah kelak dapat mencari pengakhiran bagi menuntut keadilan kepada Allahyarham Mohd Sharul Izzwan dan tujuh lagi yang terkorban dalam kejadian yang berlaku empat tahun lalu.

“Makcik dan suami Azzuraimee Azik, 46 reda dengan kejadian yang menimpa anak kami itu, kami sentiasa berdoa dan mengharapkan yang terbaik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here