Sindiket loteri untung tinggi diserbu

0
50

BUTTERWORTH: Berselindung di sebalik pelbagai kegiatan ekonomi dan kerap berpindah-randah antara modus operandi sindiket loteri tanpa lesen di daerah ini hingga memperoleh keuntungan antara RM1,000 hingga RM5,000 sehari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kegiatan itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas polis membongkarkan cara sindiket itu beroperasi hingga tertangkap 33 individu berusia 20 hingga 40-an.

Katanya, kesemua 33 suspek itu kini sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sepanjang 2019 hingga Jun lalu, polis daerah ini melancarkan 26 serbuan dan daripada jumlah itu sembilan premis dikesan melakukan kegiatan judi loteri awam haram dengan bersembunyi di sebalik pelbagai aktiviti perniagaan.

“Seramai 33 individu termasuk 29 lelaki dan empat wanita ditahan sepanjang operasi ini dan sudah didakwa di mahkamah,” katanya selepas mengadakan operasi pemotongan bekalan elektrik premis judi loteri awam haram di Sungai Dua, hari ini.

Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengambil tindakan pemotongan bekalan elektrik terhadap premis mereka dalam usaha membanteras kegiatan judi.

“Kegiatan judi terbabit memperoleh hasil lumayan antara RM1,000 hingga RM5,000 sehari.

“Ada sudah diserbu tapi mereka tak serik. Polis akan meningkatkan pemantauan dan serbuan berterusan memastikan kegiatan ini dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here