Sindiket rokok seludup, ketum dan judi ‘online’ tumpas

0
36

POLIS Port Dickson menumpaskan sindiket penjualan rokok seludup, air ketum dan judi dalam talian di empat rumah di Taman Politeknik, di Port Dickson, malam tadi.

Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam berikutan aduan mengatakan aktiviti ini dijalankan berleluasa di rumah teres setingkat di taman itu.

Operasi mengejut itu turut menemui dapur bersama tiga periuk besar untuk memproses ketum dan ratusan ketum yang sudah diproses di rumah berasingan.

Pelbagai jenis rokok juga dirampas yang disimpan dalam sebuah rumah lain, dalam but sebuah kereta Mercedes dan yang dipamerkan secara terbuka di gerai di hadapan rumah suspek.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis turut menahan lima orang warga negara asing dan seorang rakyat tempatan dipercayai terbabit dalam aktiviti ini.

“Operasi mengejut ini hasil maklumat orang awam yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan, Mustafah Hussin dan Bahagian siasatan Jenayah.

“Operasi bermula dari 5 petang dan berakhir 11 malam tadi membabitkan penjualan rokok seludup, judi dalam talian dan pemprosesan air ketum,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Katanya, lima warga asing itu adalah empat warga Indonesia termasuk seorang perempuan dan satu lelaki warga Sri Lanka.

Beliau berkata, seorang penduduk tempatan turut ditahan dalam operasi terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6(1), dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/60.

“Semua suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan dipohon reman hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here