SKMM turun padang tangani masalah internet

0
94

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempertingkatkan usaha menangani masalah capaian internet yang dihadapi oleh penduduk di seluruh negara dengan melaksanakan aktiviti turun padang dan meninjau sendiri situasi sebenar di lokasi aduan.

Antaranya, membabitkan laporan media mengenai kisah empat beradik di Kampung Rambai, Padang Siding, Arau, Perlis yang dilaporkan tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana capaian Internet perlahan dan terpaksa berkongsi peranti.

“Susulan itu, pihak SKMM telah mengambil inisiatif membawa keluarga berkenaan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Felda Chuping yang terletak lima kilometer dari tempat mereka dengan PIK disediakan peranti dan perkhidmatan kepada komuniti,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

SKMM turut mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan di kawasan terbabit untuk menjalankan pengoptimuman rangkaian dari menara berdekatan bagi meningkatkan kualiti capaian internet.

Mengenai laporan media berkenaan kisah lebih 70 pelajar anak Orang Asli Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong di Baling, Kedah yang menghadapi kesukaran mengikuti PdPR, SKMM memaklumkan hasil siasatan mendapati masalah berbangkit di kawasan itu bukan mengenai isu liputan mudah alih, sebaliknya isu ketersediaan peranti untuk tujuan PdPR.

Ia terbukti dengan hasil keputusan Ujian Kelajuan Muat Turun oleh pegawai SKMM yang menunjukkan, kualiti liputan di kampung itu amat memuaskan serta diakui oleh pengadu.

Selain itu, SKMM turut memaklumkan, pihaknya akan menaik taraf menara komunikasi berdekatan Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang kepada liputan 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka siap hujung tahun ini.

“Penyelesaian terbabit dijangka membantu lebih 300 pelajar sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menara komunikasi berdekatan Kampung Kuala Sat di Mukim Ulu Tembeling, Jerantut dan beberapa buah kampung di mukim berkenaan turut bakal dinaik taraf kepada liputan 4G di bawah pelan JENDELA bermula suku kedua 2021.

Turut diambil tindakan oleh SKMM adalah masalah liputan Internet lemah di Kampung Selindang, Padang Tengku, Lipis dan sebuah menara komunikasi baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA yang dijangka bemula suku ketiga tahun ini.

Pada masa sama, menara komunikasi baharu juga akan dibina di bawah pelan JENDELA bermula suku ketiga 2021 di Menara sedia ada berhampiran akan dinaik taraf kepada liputan 4G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di Kampung Selindang dan beberapa buah kampung berhampiran yang dijangka bermula pada suku kedua 2021.

Mengenai permohonan liputan pencawang menara telefon di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Lipis, SKMM sudah mengadakan lawatan tapak dan mendapati menara sedia ada tidak mempunyai liputan 4G.

“Justeru, sebagai penyelesaian jangka panjang, pihak Digi telah memaklumkan bahawa kerja menaik taraf menara kepada liputan 4G akan siap menjelang pertengahan Februari ini dan perkembangan kerja menaik taraf menara sedang dipantau oleh SKMM serta pengadu atau wakil penduduk akan dimaklumkan mengenainya setelah kerja naik taraf selesai,” kata kenyataan itu.

Turut dilaksanakan ialah rangkaian gentian optik meliputi beberapa menara sedia ada termasuk di Kampung Mentara Baru yang telah siap pada minggu pertama Februari.

SKMM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan dan jika perlu mengambil tindakan susulan supaya masalah capaian Internet di seluruh negara ditangani dengan tuntas, sekali gus membolehkan penduduk setempat melaksanakan aktiviti mereka dengan lancar.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here