SPM mula Januari tahun depan

0
35

KUALA LUMPUR: Ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini yang ditangguhkan, akan diadakan pada 6 Januari hingga 9 Februari 2021.

SPM sepatutnya dijalankan antara 16 November hingga 7 Disember ini tetapi ditangguhkan untuk memberi lebih banyak masa kepada pelajar selepas sekolah ditutup, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, penggunaan beberapa sekolah menengah sebagai pusat peperiksaan juga mengakibatkan perubahan tarikh pembukaan sesi 2021.

Katanya, tarikh pembukaan sekolah tahun depan akan diumumkan kemudian.

“Oleh kerana peperiksaan SPM 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama 2021, kementerian mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan.

“Ini termasuklah memperinci tarikh permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2021 yang akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ujian lisan Bahasa Melayu (BM) akan diadakan pada 16 November 2020 hingga 16 Januari 2021, ujian bertulis BM pada 6 Januari 2021, manakala Sejarah 1251 pada 7 Januari 2021.

Ujian bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula diadakan pada 17, 18 dan 22 hingga 25 Februari tahun depan.

Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Kohort 2020, peperiksaan Semester 2 akan berlangsung pada 12, 13 17 dan 18 Ogos 2020 dan Semester 3 akan berlangsung pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Mac 2021.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin pada April lalu mengumumkan perubahan tarikh bagi membolehkan murid mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi dan dapat membuat persediaan rapi untuk menduduki peperiksaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini dibatalkan.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here