SSM sasar 30,000 usahawan sertai SPPP tahun ini

0
78

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyasarkan 30,000 usahawan menyertai Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) sepanjang tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sejak SPPP dilancarkan pada 23 Disember tahun lalu, SPPP membuka peluang kepada 180,000 individu menceburi bidang perniagaan.

Katanya, SSM membuat penambahbaikan SPPP dengan memperluaskan kepada semua golongan usahawan B40 melalui kerjasama pelbagai pihak berkaitan di seluruh negara bagi mencapai objektif berkenaan.

“Agensi bawah kementerian ini sentiasa menekankan usaha ke arah ‘memudahkan perniagaan’ dan ‘mengurangkan kos perniagaan’ dengan SPPP adalah antara manifestasi kepada kedua-dua falsafah itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada masa ini, SPPP menyediakan pendaftaran percuma (pengecualian fi pendaftaran) kepada golongan B40 yang ingin memulakan perniagaan termasuk yang belum pernah mendaftarkan perniagaan.

Skim ini membolehkan peniaga memperoleh akses kepada pelbagai dana dan pinjaman diperkenalkan kerajaan bagi kelangsungan operasi perniagaan ketika berdepan suasana sukar serta mencabar berikutan penularan pandemik COVID-19.

Alexander berkata, SPPP yang dilancarkan pada 23 Disember tahun lalu kini merangkumi semua bakal usahawan golongan B40 dan tidak lagi terhad kepada usahawan dalam kalangan belia, ibu tunggal B40 serta pelajar saja.

Katanya, sejak diperkenalkan tahun lalu, SSM sudah meluluskan 1,969 permohonan membabitkan pelajar (1,066), belia B40 (830) dan ibu tunggal B40 (73).

“Pemohon yang layak mendapat manfaat pengecualian adalah perniagaan milik tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan mendapat pengecualian fi sebanyak RM30.

“Bagi perniagaan milikan tunggal atau perniagaan perkongsian (rakan kongsi membabitkan kategori kumpulan yang layak memohon skim ini) menggunakan nama tred menerima pengecualian fi sebanyak RM60, manakala cetakan maklumat menerima pengecualian RM10,” katanya.

Pemohon yang layak boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Portal EzBiz Online di pautan ezbiz.ssm.com.my.atau menghubungi SPPP di talian 03-77214000.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here