SUKE: Operasi keluarkan mayat tersepit selesai

0
132

KUALA LUMPUR: Operasi mengeluarkan mayat seorang pekerja asing yang tersepit di bawah komponen kren gantri di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini, selesai awal pagi tadi.

Selepas lebih 43 jam bertungkus lumus, pasukan penyelamat akhirnya berjaya mengeluarkan mayat lelaki warga China dikenali sebagai Mu Tong Zheng yang tersepit antara komponen kren dan ‘U beam’ kerangka binaan berketinggian kira-kira 40 meter.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata mayat mangsa selamat dibawa turun pada jam 3.50 pagi dan operasi mengeluarkan mayat selesai sepenuhnya pada jam 4 pagi.

“Saya sendiri naik ke atas struktur berkenaan bersama dua anggota dengan menaiki kren pengangkat untuk membuat penilaian risiko pada jam 2.15 pagi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Selepas itu, tiga anggota bomba lengkap dengan sut pakaian perlindungan diri (PPE) pula naik ke atas struktur binaan berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada 3.09 pagi.

“Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit berada di atas dan membawa mayat turun sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya pada sidang di lokasi, pagi tadi.

Katanya lagi, selepas hampir dua hari, mayat mangsa sudah hampir mereput dan pasukan penyelamat mengambil keputusan tepat mengeluarkan mayat mangsa pada hari ini.

“Kita tidak boleh menunggu dengan lebih lama kerana keadaan mayat (mereput), namun usaha mengeluarkan perlu dilakukan berhati-hati dan mengambil sedikit masa kerana kita perlu menstabilkan struktur ‘beam’ terlebih dahulu.

“Kita berhadapan kesukaran kerana mengambil masa lebih daripada sehari untuk menstabilkan ‘beam’ berkenaan sebelum kerja menyelamat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata mayat Tong Zheng dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

“Operasi menyelamat di tapak kejadian ditamatkan hari ini dan kita menyerahkan kepada pasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk menjalankan siasatan di lokasi,” katanya.

Wakil JKKP Kuala Lumpur yang ditemui memaklumkan, siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan akan dijalankan di lokasi pada jam 9 pagi ini.

Katanya, siasatan dilakukan untuk mengenal pastinya sekiranya terdapat pelanggaran perundangan dan elemen lain sehingga mengakibatkan kejadian.

Dalam insiden kira-kira 8.45 pagi kelmarin, komponen kren gantri di tapak pembinaan lebuh raya SUKA yang sedang dalam pembinaan jatuh dan menimpa sebuah PERODUA Bezza.

Kejadian itu menyebabkan tiga pekerja asing warga China, iaitu Ding Kunfu, Jiang Jinboa termasuk Tong Zheng yang dikatakan sedang melakukan kerja penyelenggaraan kren maut, manakala pemandu kereta warga tempatan dan dua lagi pekerja asing cedera.

Kunfu dan Jinboa dilaporkan maut di tempat kejadian akibat terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter.

Pemandu kereta, Low Zy Jing berusia 33 tahun yang kenderaan dipandunya ditimpa komponen kren gantri, cedera pada leher dan kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here