Sultan Nazrin zahir penghargaan kepada Cikgu Ismail

0
274

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini menzahirkan titah penghargaan kepada seorang guru yang sanggup secara sukarela membersihkan Sungai Balun di Slim River, Tanjung Malim.

Sultan Nazrin bertitah, usaha guru di Sekolah Kebangsaan FELDA Besout 1, Slim River, Ismail Mohd Zain, 40, membersihkan sungai itu daripada sampah yang terperangkap, dapat menghindari banjir.

Selain itu, baginda bertitah, inisiatif Ismail dapat membantu memelihara habitat untuk pelbagai spesies hidupan air terus membiak, sekali gus menjadi sumber rezeki nelayan darat.

“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan,” titah baginda dalam satu warkah penghargaan, di sini, hari ini.

Sultan Perak bertitah, sebagai guru, Ismail telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan, dan sikap beliau wajar dicontohi warga pendidik serta pelajar di negara ini.

“Semoga Allah menerima usaha murni ini yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi ganjaran dunia dan akhirat,” titah baginda.

Sebelum ini, BH melaporkan kisah Ismail yang sanggup bergelumang lumpur, selut dan lintah seorang diri demi membersihkan sampah terperangkap di Sungai Balun. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here