Suspek tembak mati bomoh mungkin pembunuh upahan

0
471

TEMERLOH: Pembunuhan pengamal perubatan di Kuantan pada malam Ahad lalu dipercayai dilakukan pembunuh upahan yang melepaskan beberapa das tembakan ketika mangsa sedang merawat pesakit.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata mangsa, Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, dipercayai ditembak di hadapan sepasang suami isteri, yang kini direman sehingga 13 April ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang memakai topeng ada memberi salam sebelum masuk ke rumah dan terus melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek dikatakan terus berlalu pergi selepas itu tanpa mengapa-apakan suami isteri terbabit dan difahamkan seorang rakan suspek menunggu di luar bagi memudahkan mereka melarikan diri,” katanya selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh yang dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, hari ini.

Mohamad Abdul Rahim ditemui maut dengan kesan tembakan pada kira-kira jam 11 malam 4 April lalu dalam keadaan berpakaian serba kuning dengan kesan darah kering.

Abd Jalil berkata, andaian pembabitan pembunuh upahan itu berdasarkan persiapan dan jenis pistol digunakan, selain suspek kekal tenang walaupun kejadian itu berlaku di depan saksi.

“Setakat ini, siasatan bagi motif pembunuhan dilakukan secara menyeluruh membabitkan aspek dendam, hutang dan marah yang mungkin berpunca daripada gangguan seksual ketika proses mengubat.

“Kita juga meneliti jadual dan perbualan mangsa sebelum kejadian serta media sosial mangsa yang mengandungi video dia menjalankan proses rawatan bagi mendapatkan petunjuk untuk membantu siasatan,” katanya.

Abd Jalil berkata, pihaknya memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mereka yang pernah mendapatkan rawatan daripada mangsa untuk tampil membantu siasatan, dengan jaminan kerahsiaan identiti dijaga.

“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here