Tabah jaga suami lumpuh, 4 anak OKU

0
108

MACHANG: Seorang isteri berdepan dugaan menjaga suaminya, Mohd Asri Noh, 62, yang terlantar sakit akibat angin ahmar dan pada masa sama, membesarkan empat daripada lapan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Siti Rokiah Mat Ali, 50, berkata, suaminya lumpuh sebelah kanan badan pada Januari lalu dan pada masa sama turut mengalami diabetes, darah tinggi, jantung serta paru-paru berair, selain kedua-dua matanya kabur sejak lebih setahun lalu.

Beliau berkata, selain menguruskan suaminya yang memerlukan perhatian, dia juga perlu membahagikan masa supaya keperluan empat anaknya tidak terabai iaitu Nur Umayyah Mohd Asri, 13, yang juga OKU ketidakupayaan fizikal; Siti Nur Asyikin, 16; dan Mohd Haikal, 18; yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang dalam aliran Pendidikan Khas serta Mohd Shahrul Adli, 21, yang semuanya mengalami masalah pembelajaran (lembam).

“Kami sekeluarga hilang punca pendapatan selepas suami yang sebelum ini bekerja penoreh getah terlantar sakit, manakala anak lain pula hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sekadar mampu menyara diri sendiri.

“Mujurlah dua anak saya, Siti Nur Asyikin dan Mohd Haikal masing-masing mendapat bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan saya juga mendapat bantuan elaun penjaga RM500 sebulan yang dapat meringankan beban ditanggung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lepan Rambutan, di sini.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Machang, Kamaruddin Ab Kadir yang menyampaikan bantuan keperluan asas bagi membantu mereka.

Siti Rokiah berkata, setiap bulan dia perlu memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk membeli keperluan suaminya termasuk susu berharga RM92 setin yang hanya bertahan untuk tempoh seminggu.

“Sejak suami sakit, selera makannya semakin kurang dan bagi menambahkan tenaga, saya memberinya minum susu khas lima kali sehari setiap empat jam sekali.

“Selain itu, suami juga perlu berulang alik ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan susulan bergantung kepada tahap kesihatannya dan setiap kali menghadiri janji temu, kami menggunakan khidmat kereta tambang dengan bayaran RM100 pergi dan balik,” katanya.

Katanya, apabila terdesak dia terpaksa berhutang membeli barang keperluan harian di kedai runcit berhampiran dan akan dibayar semula apabila mempunyai wang.

“Apabila kesuntukan wang, kami anak beranak hanya makan nasi air atau nasi kosong bersama kicap dengan telur atau ikan kering bagi mengalas perut,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here