Tahun Lembu pacu semangat putuskan rantaian COVID-19

0
99

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Lembu diharap menjadi pemacu semangat dan kekuatan baharu untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri ketika menaruh harapan sedemikian berkata, kesepakatan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah usaha memulihkan ekonomi negara.

“Saya berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini akan membawa kebahagiaan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia.

“Jadikanlah perayaan ini sebagai sumber kekayaan budaya dan adat resam rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta titik pengukuhan sikap saling menghormati.

“Semoga kita dapat kembali mengecapi kemakmuran bersama,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Berikutan penularan kes COVID-19 yang masih mencecah empat angka, Muhyiddin berkata, Tahun Baharu Cina kali ini disambut dalam suasana norma baharu.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan kepercayaan menyambut perayaan masing-masing dalam suasana berhati-hati, tatkala pandemik kesihatan yang mula tercetus di Wuhan, sejak Disember 2019 masih meruncing.

“Kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk memastikan saudara dan saudari dapat menyambut perayaan dalam keadaan selamat, termasuk sekatan rentas negeri dan daerah yang menyebabkan ramai tidak dapat pulang ke kampung halaman atau berjumpa keluarga masing-masing.

“Sekatan ini dilaksanakan bukan untuk menyekat kebebasan saudara dan saudari, tetapi demi untuk kebaikan bersama bagi melindungi nyawa, terutama ahli keluarga kita yang kita sayangi.

“Ini penting kerana keutamaan kita pada masa ini ialah memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat. Justeru di sebalik kekangan, saya percaya Tahun Baharu Cina masih dapat disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan.

“Tradisi makan besar yang menjadi amalan masyarakat Cina pada malam sebelum hari pertama perayaan, masih dapat diraikan dengan penuh bermakna bersama ahli keluarga,” katanya.

Mengambil kira kepentingan tradisi, Muhyiddin berkata, kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan makan besar dengan ahli keluarga yang tinggal berdekatan, namun tidak melebihi 15 orang.

Selain itu, katanya, aktiviti keagamaan di tempat ibadat masyarakat Cina dibenarkan mengikut SOP yang digariskan kerajaan.

“Yang penting ialah saudara dan saudari terus mengamalkan kawalan kendiri pada setiap masa. Amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan.

“Jika ada dalam kalangan ahli keluarga yang terdiri daripada golongan yang berisiko tinggi, lindungi mereka. Bagi ahli keluarga yang tinggal berjauhan atau pelajar yang terpaksa berada di kampus universiti atau kolej, manfaatkan teknologi dengan membuat panggilan video untuk melepaskan kerinduan.

“Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai,” katanya dalam bahasa Mandarin yang bermaksud Selamat Tahun Baharu, tahniah moga mendapatkan lebih kekayaan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here