Teknologi digital pendekatan efektif sebar aktiviti seni

0
73

KUALA LUMPUR: Pemain industri seni budaya perlu menyesuaikan keadaan dengan menggunakan platform teknologi digital sebagai pendekatan paling efektif dalam menyebarluaskan maklumat dan aktiviti seni.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementeriannya sentiasa komited memberi bantuan dan suntikan semangat kepada golongan terbabit untuk terus berkarya demi kelangsungan hidup.

Katanya, selain itu terdapat juga insentif dan bantuan disediakan antaranya Insentif Seni Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN) dalam bentuk kewangan, ruang, kepakaran atau khidmat nasihat dan promosi melalui medium digital dan media sosial.

“Pada tahun ini, JKKN memperuntukkan RM300,000 bagi membantu pelaksanaan program seni budaya organisasi bukan kerajaan (NGO) melalui Insentif Seni-Kewangan.

“Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan RM286,500 diperuntukkan dengan pelbagai manfaat diterima oleh penggiat seni.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha MOTAC untuk membantu dan memberi sokongan kepada penggiat dan pemain industri dalam merancakkan lagi industri seni budaya negara,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Pelancaran Kalendar JKKN 2021, di sini, hari ini.

Majlis yang berlangsung secara maya itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop dan Ketua Setiausaha MOTAC,Datuk Noor Zari Hamat.

Beliau berkata, agensi di bawahnya iaitu JKKN menjadi antara agensi yang mengambil langkah proaktif dengan menampilkan sebanyak 266 aktiviti dan program ‘seni dalam talian’ pada tahun lalu.

“Sasaran JKKN pada tahun ini ialah sebanyak 279 yang membabitkan penganjuran 305 aktiviti dan program

seni budaya seluruh negara dengan mengikut syarat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berdasarkan statistik laporan media sosial, maklum balas positif diterima daripada masyarakat serta penggiat seni budaya dengan rekod jumlah penonton yang menyaksikan program dalam talian adalah sebanyak 4,020,792 penonton.

“Justeru saya berharap penggiat dan pemain industri seni budaya tidak berputus asa dan dapat menerima serta menyesuaikan diri dalam norma baharu melaksanakan aktiviti seni budaya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here