Teksi Pangkor terpaksa ‘berehat’

0
166

PANGKOR : Seramai 130 pemandu teksi di Pulau Pangkor, di sini, mendakwa pendapatan mereka terjejas teruk hingga ada yang terpaksa mencari pekerjaan lain, sementara pulau peranginan itu kembali dikunjungi pelancong.

Timbalan Pengerusi Koperasi Pemandu Teksi Pangkor, Mohd Ariffin Mohamed Khalid, berkata situasi pandemik COVID-19 ketika ini mengubah landskap pelancongan di pulau itu.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini, tiada kemasukan pelancong sekali gus menyebabkan 90 peratus teksi di pulau itu tidak dapat beroperasi sepenuhnya seperti sebelum ini.

“Pendapatan pemandu teksi di Pulau Pangkor boleh dikatakan bergantung sepenuhnya kepada pelancong kerana penduduk setempat masing-masing mempunyai kenderaan sendiri.

“Jadual perjalanan feri juga berubah ketika ini dan hanya ada tiga trip saja, jadi perjalanan teksi juga mengikut trip itu dengan hanya empat hingga lima teksi saja yang beroperasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ariffin berkata, walaupun pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sudah dibenarkan dengan aktiviti tertentu, sekatan pergerakan daerah dan negeri masih dikuatkuasakan yang menjadi faktor kepada kekurangan pelancong ke pulau itu.

“Kebanyakan pelancong yang datang bercuti di sini adalah dari Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang. Apabila pelancong tiada, ada pemandu teksi turun ke laut, berniaga dan memancing sebagai alternatif untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Pemandu teksi, Muhammad Latif Saad, 38, berkata, dia yang sebelum ini menjadikan perniagaan sate sebagai pendapatan sampingan, kini berniaga sepenuh masa sejak teksinya tidak dapat beroperasi.

“Memang sepi dan masih belum ada pelancong masuk ke sini sekarang, lagipun Lembah Klang dan Selangor masih tidak boleh rentas negeri,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, jadual operasi feri ditetapkan oleh Jabatan Laut selepas berunding dengan operator feri dan mengambil kira faktor permintaan pengguna dan pelancong.

Katanya, setakat ini, beliau difahamkan belum ada jadual baharu dengan mengambil kira keputusan kerajaan yang belum membenarkan rentas daerah dan negeri.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here