Temui janin dalam loji kumbahan

0
31

Kota Kinabalu: Beberapa pekerja penyelenggaraan terkejut selepas menemui janin tersangkut pada jarang pembersihan dalam sebuah loji kumbahan di Jalan Tun Fuad Stephens, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pekerja terbabit memaklumkan penemuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu kepada penyelianya sebelum menghubungi polis.

“Siasatan lanjut mendapati, punca air kumbahan adalah dari sebuah pusat beli belah dan kali terakhir kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan adalah pada 24 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat pemeriksaan awal dan menjalankan sanitasi ke atas janin terbabit kerana disaluti dengan bahan buangan.

Menurutnya, saiz janin berkenaan berukuran 20 sentimeter dan berada dalam keadaan cukup sifat dan dipercayai masih baru.

“Bagaimanapun, usia dan jantina janin masih belum dapat disahkan oleh pihak hospital sehingga bedah siasat dijalankan,” katanya.

Habibi berkata, janin berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here