Terengganu mohon kelonggaran rentas daerah

0
150

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya penduduk di negeri ini diberi kelonggaran untuk bergerak merentas daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata permohonan itu bertujuan memperkasakan semula sektor pelancongan domestik yang terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula awal Januari lalu.

“Sejak pelaksanaan PKP, industri pelancongan di Terengganu turut menerima tempias apabila terjejas hampir 90 peratus.

“Jika kebenaran rentas daerah dibenarkan, ia memberi peluang kepada rakyat negeri ini melawat dan melancong di dalam negeri seterusnya memupuk sifat menyayangi produk pelancongan yang ada.

“Malah, penggiat industri pelancongan juga boleh bernafas semula, selain turut menyediakan pakej istimewa demi kelangsungan industri sebagai galakan mengajak rakyat Terengganu melawat dan menginap di tempat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu Berkat (Sektor Pelancongan) di Kampung Budaya di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 147 orang menerima bantuan RM300 setiap seorang membabitkan peruntukan RM44,100.

Ia membabitkan 44 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan 103 pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi yang akan diagihkan terus secara berperingkat ke dalam akaun penerima.

Yang turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Ariffin turut mencadangkan penggiat pelancongan di negeri itu menjadi antara penerima awal vaksin.

“Terdapat lebih 5,000 penggiat pelancong di negeri ini dan suntikan vaksin wajar diberikan kepada mereka yang kerap berdepan dengan masyarakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here