Terima rasuah, pegawai Imigresen dipenjara 10 hari

0
227

SHAH ALAM: Seorang pegawai Imigresen dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM2,600 pada 2019 dan tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan berkenaan terhadap Mohd Azam Azhari Juhari, 39, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan, termasuk pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Mohd Azam Azhari didenda RM10,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan penjara 10 hari bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang berjumlah RM2,600 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukannya di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sekitar November 2019 hingga Mac 2020.

Terdahulu, tertuduh yang ditahan dalam Op Selat, mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan menerima wang suapan berjumlah RM2,600 mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini memerintahkan dia dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak hasil penerimaan rasuah tertuduh iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda, motosikal berkuasa tinggi dan basikal ‘road bike’.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Fadhli Ab Wahab manakala Mohd Azam Azhari diwakili peguam Naim Kamaruddin.

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here