Terima undangan Jokowi, PM lawat Indonesia esok

0
139

JAKARTA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari bermula esok, bagi memenuhi undangan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta pada jam 5 petang waktu Indonesia barat.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar, berkata ia lawatan pertama Muhyiddin sejak dilantik Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.

“Terdapat beberapa perkara menyentuh kepentingan kedua-dua negara yang memerlukan perbincangan di peringkat tertinggi secara bersemuka dan secara hati ke hati,” katanya pada sidang media di Kedutaan Besar Malaysia, di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Perdana Menteri akan diberikan sambutan negara di Istana Merdeka di sini, dan kemudian kedua-dua pemimpin akan mengadakan perbincangan empat mata sebelum membuat penyataan akhbar bersama.

“Antara yang dijangka dibincangkan berhubung isu diskriminasi minyak sawit, masalah jerebu, potensi usaha sama pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) serta usaha kerjasama dalam menangani COVID-19,” katanya.

Zainal Abidin berkata, program lawatan Perdana Menteri itu akan diadakan dalam suasana protokol kesihatan yang ketat termasuk menjalani saringan sebelum berlepas, selepas ketibaan dan pelaksanaan kuarantin bagi delegasi sebaik pulang ke Malaysia pada petang Jumaat.

“Menyedari kepentingan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dan cabaran pandemik COVID-19, Perdana Menteri sendiri meminta lawatan ini diadakan secara singkat dan dalam delegasi kecil.

“Pihak Indonesia juga menghormati permintaan ini, pada mulanya sambutan negara dirancang diadakan di Istana Bogor, tetapi kemudian ditukar ke Istana Merdeka di Jakarta kerana pihak Indonesia memahami situasi dan kepentingan logistik ketika pandemik,” katanya.

Indonesia adalah rakan dagang ke sembilan terbesar Malaysia pada peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

“Pada 2020, jumlah perdagangan dua hala direkodkan sebanyak RM66.17 bilion (AS$15.7bilion), manakala jumlah pelaburan Malaysia yang kedua terbesar di Indonesia iaitu AS$1,045.3 juta,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia turut mengadakan lawatan ke Indonesia dan bertemu Jokowi ketika pandemik COVID termasuk Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga pada Oktober 2020, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo pada Oktober 2020 dan Menteri Luar China Wang Yi (13 Januari lalu).

Sementara itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dijadualkan tiba esok pagi, dan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here