Terus patuh SOP ketika di luar sekolah

0
86

KUALA TERENGGANU: Ibu bapa kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 diminta bekerjasama memastikan anak mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani, berkata setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan pelaksanaan langkah pematuhan SOP ketika calon berada di kawasan sekolah, termasuk membabitkan pengawas peperiksaan dan guru.

Namun, beliau berkata, pihak jabatan dan pengurusan sekolah bimbang jika pematuhan SOP diperketatkan itu tidak terus diamalkan calon apabila berada di luar, sekali gus boleh mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan COVID-19.

“Justeru, kita menggesa ibu bapa kepada semua calon berkenaan supaya sama-sama memainkan peranan, termasuk menasihati anak sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Kita tidak bimbang mengenai calon SPM yang tinggal di asrama kerana warden dan pihak pengurusan sekolah sentiasa memantau aktiviti mereka selepas sesi peperiksaan,” katanya.

Salim berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan dari luar pusat peperiksaan di beberapa sekolah sekitar daerah Kuala Nerus, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abbas, Tok Jiring, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan semua calon SPM 2020 meliputi persendirian, hadir menduduki peperiksaan berkenaan pada hari pertama, semalam.

Sementara itu, tinjauan pada hari kedua peperiksaan SPM 2020 mendapati calon terus mematuhi SOP yang ketat, termasuk menjalani pemeriksaan suhu badan sebaik saja tiba di sekolah, memakai pelitup muka dan membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman.

Ibu bapa pula tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan sekolah, manakala media juga hanya boleh merakam gambar dari luar.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here