Tiada parti dominan, itu politik lama – Muhyiddin

0
220

KLANG : Tiada mana-mana pihak boleh mendakwa parti mereka paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti lain, kata Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Perdana Menteri berkata, dalam era politik baharu ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

“Itu politik lama. Kita sudah memasuki era baharu dalam politik negara. Kerana itu, kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.

“Dalam apa saja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok kecil,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas secara maya sempena Perhimpunan Agung MIC di sini, hari ini.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M Saravanan turut menyaksikan ucapan khas itu bersama lebih 1,000 perwakilan MIC yang mengikutinya secara fizikal dan maya di seluruh negara.

Muhyiddin berkata, apa saja perkara baik untuk rakyat dan negara, itulah yang sepatutnya menjadi prinsip panduan kepada mana-mana organisasi politik, termasuk MIC, dalam menentukan hala tuju parti pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MIC yang terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN. Ini satu tindakan rasional kerana dengan sokongan MIC, kerajaan PN dapat terus berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam waktu sukar ini.

“Saya berharap sokongan MIC kepada PN, bukan saja pada masa ini, tetapi juga akan datang. Saya percaya sekiranya kita berada pada landasan sama, dalam saf sama, kita akan dapat bersama-sama menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara yang pastinya akan memberikan manfaat besar kepada semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here