Tiga strategi pemberian vaksin

0
92

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menetapkan pemberian vaksin diberikan mengikut tiga strategi.

Strategi pertama pemberian vaksin adalah kepada petugas barisan hadapan, terutamanya petugas kesihatan bagi memastikan kumpulan itu terlindung daripada jangkitan COVID-19.

Langkah itu bertujuan memastikan sistem kesihatan dan keselamatan pada tahap optimum.

Strategi kedua adalah bagi mengurangkan beban penyakit kepada kumpulan berisiko tinggi supaya mereka terlindung daripada jangkitan COVID-19, sekaligus dapat mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam Malaysia.

Strategi ketiga untuk kawalan wabak, pemberian vaksin akan dijalankan sepanjang fasa dua dan tiga di kawasan kluster berisiko tinggi melalui penilaian risiko bagi mengawal penularan penyakit.

Secara keseluruhan, keutamaan pemberian vaksin oleh KKM adalah berdasarkan epidemik penyakit dan data klinikal, jenis vaksin, faktor operasi dan penilaian risiko.

Bagi fasa pertama iaitu mulai 26 Februari hingga April, pemberian vaksin diberikan mengikut dua kumpulan, iaitu kumpalan satu bagi kumpulan barisan hadapan petugas kesihatan kerajaan dan swasta dan kumpulan kedua membabitkan petugas barisan hadapan perkhidmatan penting dan pertahanan.

Bagi fasa ini disasarkan 500,000 orang akan diberikan vaksin.

Bagi fasa kedua mulai April hingga Ogos turut membabitkan dua kumpulan iaitu kumpulan utama satu membabitkan baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan.

Kumpulan utama kedua fasa ini adalah warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kurang upaya (OKU).

Disasarkan seramai 9.4 juta orang akan terbabit dengan fasa kedua ini.

Fasa Ketiga mulai Mei 2021 hingga Februari 2022 iaitu penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) keutamaan bagi zon merah diikuti zon kuning dan zon hijau.

Seramai 13.7 juta dan lebih dijangka diberikan suntikan dalam fasa ini.

Perlu difahami, Dasar Vaksinasi COVID-19 adalah secara sukarela dan akan diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia (warganegara dan bukan warganegara).

Had umur adalah 18 tahun ke atas, namun perkara ini akan diteliti dari semasa ke semasa.

Pendekatan Kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19.

Bagi vaksin yang memerlukan dua dos, setiap individu akan mendapat vaksin daripada jenis yang sama dan tempoh masa menerima vaksin kedua adalah bergantung kepada jenis vaksin.

Sebagai contoh selang masa antara dos pertama dan dos kedua bagi vaksin Pfizer dan Spunik V adalah 21 hari, vaksin AstraZaneca (28 hari) dan vaksin Sinovac (14 hari).

Vaksin itu akan diedarkan secara berperingkat ke seluruh negara bergantung kepada bekalan daripada pengeluar.

Sebagai tambahan, vaksinasi hanya untuk warganegara dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas sahaja kerana kebanyakan percubaan klinikal yang dijalankan adalah kepada sukarelawan berumur 18 tahun ke atas.

Namun, beberapa syarikat vaksin akan melaksanakan percubaan klinikal ke atas kanak-kanak.

Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak apabila data saintifik membuktikan keberkesanan dan keselamatannya kepada golongan itu.

Vaksinasi yang dijalankan kerajaan mengambil kira kejayaan vaksinasi negara lain.

Berdasarkan maklumat umum, negara yang telah memulakan vaksinasi COVID-19, sudah menunjukkan kesan positif dalam penurunan kes baharu COVID-19.

Sebagai contoh, sebuah negara yang telah menjalankan vaksinasi kepada 600,000 penduduk, melaporkan keberkesanan vaksinasi yang menunjukkan 94 peratus penurunan jangkitan COVID-19.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here