Tindakan terhadap PATI atas dasar keselamatan, kesihatan

0
27

KUALA LUMPUR: Segala bentuk tindakan yang diambil terhadap pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini adalah atas keperluan keselamatan dan kesihatan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata semua negara di dunia tidak akan membiarkan PATI bebas tanpa kawalan terutama ketika berdepan wabak termasuk pandemik COVID-19.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membantu Jabatan Imigresen dalam menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/1963.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PDRM juga akan terus melipatgandakan usaha mengawal sempadan darat dan laut daripada terus dibolosi oleh PATI, dan dalam masa sama memastikan tiada penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin yang ditangkap,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita asing, Al Jazeera.

Beliau turut menegaskan laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita itu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap PATI adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh PDRM.

Bernama difahamkan satu laporan polis dibuat oleh Jabatan Imigresen berhubung perkara itu.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menyelamatkan orang ramai daripada COVID-19 tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara.

Sumber– Berita Harian dan Bernama

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here