Tingkatkan hukuman, seksaan jenayah seksual – Zuraida

0
144

PUTRAJAYA: Hukuman dan seksaan terhadap pesalah jenayah seksual wajar ditingkatkan menerusi peruntukan sedia ada.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata insiden seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol dalam lokap sebuah balai polis di Miri Sarawak oleh tahanan lain sebelum ini, bukan hanya membabitkan kesalahan merogol sebaliknya ia turut mencemarkan institusi dan adicita (ideologi) pasukan polis.

Beliau berkata, peningkatan hukuman dan seksaan terhadap pesalah jenayah seksual itu sekali gus berperanan sebagai langkah pencegahan supaya masyarakat tidak melakukannya lagi.

“Saya terpanggil untuk mengulas mengenai kejadian yang berlaku terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang dirogol oleh tahanan lain sewaktu ditahan di sebuah lokap balai polis di Miri, Sarawak pada Januari lalu.

“Bagi saya, kejadianhitam yang berlaku terhadap remaja ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan di mahkamah terhadap pesalah dan anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sudah digantung tugas serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memaklumkan mengenai perkembangan terkini, sama ada lokap Balai Polis Pusat Miri sudah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh digunakan untuk tujuan merakam dan memantau tahanan, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, ia berikutan insiden itu bukan kejadian pertama yang tidak diingini berlaku di lokap.

Beliau berkata, transformasi CCTV perlu dilakukan di lokap seluruh negara, bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.

“Sampai bilakah CCTV yang hanya boleh digunakan untuk memantau sahaja akan digunakan di lokap ini dan lokap lain.

“Kejadian rogol ini adalah kejadian luar biasa, kerana ia berlaku di sebuah balai polis, yang menurut saya sebuah premis dibangunkan untuk tujuan menjunjung dan menegakkan undang-undang negara seperti mana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis mendakwa ditahan sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri, 8 Januari lalu, kerana disyaki terbabit aktiviti perjudian haram.

Mangsa mendakwa beliau satu-satunya tahanan wanita yang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan, serta diletakkan dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Bagaimanapun, remaja itu mendakwa, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Remaja itu mendakwa, antara jam 4 hingga 5 pagi, seorang tahanan lelaki dikatakan memiliki kunci lokap tahanan wanita, membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.

Susulan kejadian, dua anggota polis yang bertugas ketika kejadian sudah digantung tugas serta merta manakala tahanan lelaki terbabit sudah didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here