Tubuh jawatankuasa khas kaji insiden tapak pembinaan – PPJK

0
144

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) meminta sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi mengkaji punca kemalangan membabitkan tapak pembinaan di seluruh negara.

Presidennya, Mohammad Hisham Shafie, berkata ia bertujuan memberi laluan untuk pemeriksaan lanjut dilakukan susulan beberapa insiden membabitkan kawasan pembinaan, kebelakangan ini.

Beliau berkata, tahap keselamatan di kawasan sedemikian perlu diberi keutamaan kerana membabitkan nyawa orang ramai, termasuk pengguna jalan raya.

“Belum habis isu dua maut sebelum ini, kita berdepan tragedi baharu pula, hari ini.

“PPJK berharap kerja di tapak pembinaan dihentikan sementara pemeriksaan dan siasatan menyeluruh mengenai tahap keselamatan dilakukan,” katanya.

Beliau mengulas insiden satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hisham menjelaskan sekiranya jawatankuasa itu ditubuhkan, ia dapat memberi gambaran menyeluruh mengenai kejadian yang berlaku bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Walaupun prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, katanya, ia tetap berisiko terutama jika projek pembinaan dijalankan berhampiran jalan utama.

Pada 3 Mac lalu, dua mangsa maut apabila perancah besi dalam pembinaan SUKE dilaporkan runtuh di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) akibat dilanggar sebuah treler.

sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here