UM bincang kadar yuran Selasa depan

0
82

KUALA LUMPUR: Pengurusan Universiti Malaya (UM) dijangka membincangkan isu berkaitan pengurangan yuran pengajian dalam mesyuarat Selasa depan.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata mesyuarat pengurusan itu akan meneliti kertas cadangan yang akan dibentangkan jawatankuasa berkaitan yuran bagi proses kelulusan.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar, selain maklum mengenai keperluan mereka dan bersimpati dengan kesukaran terpaksa dihadapi sepanjang pandemik COVID-19.

“(Yuran) kita lebih rendah berbanding Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan asalnya kita memang sudah beri (yuran pada kadar) rendah, tetapi akan melihat aspek yang boleh diberi pengecualian lebih.

“Bagaimanapun, ada jawatankuasa yang melihat perkara berkenaan yuran ini, selain kita mengambil kira pandangan dan permohonan pelajar supaya diberi pengurangan dalam beberapa aspek.

“Berkemungkinan kita akan ikut saranan (jawatankuasa berkaitan yuran) kerana ada banyak pengiraan yang perlu diambil kira, selain perlu tengok keupayaan universiti untuk serap kos berkenaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan, Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu pelajarnya sejak tahun lalu, menerusi Pakej UPM Prihatin, termasuk pengecualian bayaran penginapan bagi Semester 1 2020/2021 sesi Oktober 2020 hingga Februari 2021 membabitkan kos keseluruhan bernilai RM6.65 juta.

UPM turut mengurangkan yuran kolegiat dan perkhidmatan sebanyak 15 peratus kepada semua pelajar, membabitkan kos keseluruhan bernilai RM1.31 juta.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula menjelaskan sudah memulangkan sejumlah yuran pelajarnya sejak tahun lalu, bagi meringankan beban mereka.

Isnin lalu, UKM mengambil langkah membuat pengurangan yuran pendaftaran kepada pelajar baharu semester pertama sesi akademik 2020/2021 daripada RM1,200 kepada RM850.

Langkah itu diambil ekoran penularan pandemik COVID-19, menyebabkan pelajarnya tidak dapat mengikuti aktiviti minggu mesra mahasiswa baharu secara bersemuka.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, ketika dihubungi menjelaskan pihaknya belum bersedia memberi ulasan berkenaan perkara itu.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here