Umat Islam perlu rujuk mufti elak kekeliruan

0
180

PUTRAJAYA: Segala kekeliruan atau permasalahan dihadapi umat Islam di negara ini perlu dirujuk kepada mufti atau majlis agama Islam di negeri masing-masing bagi mendapatkan pandangan yang lebih tersusun dan diyakini.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata segala pandangan dan buah fikiran berhubung sesuatu isu perlu diambil daripada mereka yang berkuasa seperti pejabat mufti atau Jabatan Mufti.

“Pihak lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam akan sokong mufti masing-masing.

“Dengan ini pandangan dikemukakan itu akan nampak lebih terarah dan tersusun serta diyakini. Kebenaran yang begitu yang kita mahukan. Saya tahu setiap orang ada kelemahannya, namun jawapan rasmi daripada pihak berkuasa itu akan jadi lebih selamat.

“Jadi, rujuk mufti sekiranya ada persoalan mengenai hukum hakam, keraguan dan fahaman (agama),” katanya pada sidang media selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Kelantan, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu Agama Melayu yang didakwa disebarkan seorang wanita melalui media sosial, yang tular baru-baru ini.

Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sebelum ini sudah banyak pandangan diberi mengenai permasalahan yang dikemukakan dijadikan sebagai rujukan.

“Banyak pandangan diberikan sebelum ini sudah kami bukukan, ia boleh dirujuk di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan JAKIM. Semua (persoalan) itu kita jawab dengan tuntas,” katanya.

Mengulas tindakan selanjutnya terhadap wanita terbabit selepas dipanggil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zulkifli berkata, beliau belum menerima maklumat lanjut mengenai hal itu, namun pihaknya akan menyelesaikan isu berkenaan mengikut proses sepatutnya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Bagaimanapun, kita tidak akan memanggil Ustaz Ebit Lew untuk bekerjasama memberikan sumbangan, sebaliknya mengalu-alukan beliau dan semua NGO serta syarikat untuk bekerjasama dengan kita.

“Kita menyasarkan sumbangan ini dapat diberikan di seluruh Malaysia kepada golongan B40, M40, fakir miskin dan golongan terdesak yang memerlukan bantuan,” katanya.

Mengulas bantuan banjir kepada Kelantan itu, beliau berkata, lima lokasi dipilih iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Kampung Jeli, Pekan Tanah Merah dan Pasir Mas membabitkan sumbangan 31,000 unit dapur memasak, cerek elektrik, kain batik, kain pelekat, telekung, sejadah lampin pakai buang serta barangan makanan.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here