UMNO dalam proses langsai semua hutang – Ku Nan

0
123

PUTRAJAYA – UMNO sedang dalam proses melunaskan segala bayaran dan hutang tertunggak parti kepada pihak lain termasuk gaji kakitangan dan vendor-vendor yang berurusan dengan mereka.

Bendahari Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu  menggunakan wang RM192 juta milik parti yang dilepaskan Mahkamah pada 7 Februari lalu selepas dana berkenaan didapati bukan daripada hasil penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apa yang kita hutang, kita akan bayarlah kerana kita minta balik duit itu kerana kita mempunyai hutang-hutang, jadi perlu dilunaskan,” katanya ketika ditanya pemberita selepas program Merdeka Community Bonding Semarakkan Patriotik Dalam Norma Baharu di Persint 14 anjuran Komuniti Penjawat Awam pagi ini.

Tambah beliau, hutang yang dianggarkan lebih RM59 juta itu tidak ada keperluan untuk diperincikan memandang ia dalam proses diselesaikan.

“Kita sebuah parti yang mempunyai struktur dan kita mempunyai banyak program untuk dilaksanakan.

“Selama ini kami terpaksa menggunakan pembiayaan apabila wang parti dibekukan dalam siasatan 1MDB serta dibicara di mahkamah. Kita terpaksa mencari sumber-sumber lain untuk membantu kelangsungan parti,” ujarnya.

Awal bulan ini UMNO telah menarik balik permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank yang didakwa tidak melepaskan wang berjumlah RM192 juta seperti diperintahkan mahkamah.

Ini kerana, Mahkamah Tinggi pada Jun lalu menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan melepaskan wang terbabit selepas ia menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang yang disita agensi itu.Pendakwaan yang mewakili SPRM dan kerajaan mendakwa wang itu diterima UMNO daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili UMNO selaku pemohon memberitahu Mahkamah Tinggi, pihaknya menerima arahan daripada anak guam untuk menarik balik permohonan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB.

Sementara itu, peguam CIMB berkata, wang berkenaan sudah dinyah beku pada 3 Julai lalu.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wang UMNO yang dibekukan oleh kerajaan dua tahun lalu, bukan daripada Najib yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Sehubungan itu,  mahkamah memerintahkan supaya semua akaun berkenaan dinyahbeku dan diserahkan kepada responden.

Kerajaan memohon untuk melucut hak wang UMNO berjumlah RM192.965 juta; daripada Wanita MCA berjumlah RM300,000; dan dua syarikat iaitu daripada Binsabi Sdn BhdRM827,250; dan daripada Perano Sdn Bhd RM337,634.78.

Sumber: MalaysiaGazette

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here