Undang risiko ‘Demam Kabin’

0
119

George Town: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sudah mengubah corak kehidupan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak yang turut menerima impak tersendiri.

Virus yang menyerang manusia secara senyap itu turut memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang termasuk kanak-kanak yang terpaksa mengubah gaya kehidupan yang dulunya bebas ke sana ke mari bermain bersama rakan sebaya kepada kurangnya pergerakan dan ‘terkurung’ di rumah.

Menurut Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Dr Syed Mohamad Syed Abdullah, pandemik Covid-19 menyaksikan ramai terkesan dengan perubahan itu dan terpaksa melalui kesukaran dalam proses penyesuaian sepanjang pandemik itu.

Masalah gangguan mental dalam kalangan kanak-kanak bukan suatu mitos atau perkara yang remeh dan isu itu semakin mencuri perhatian apabila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas dan maklum balas menunjukkan ramai kanak-kanak yang terkesan secara mental dan emosi apabila rutin harian mereka terganggu.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, hampir setengah juta kanak-kanak dikesan berdepan dengan masalah mental. Apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020, fenomena ini dijangka memburukkan lagi keadaan dengan bertambahnya maklum balas negatif terhadap gangguan mental kanak-kanak seperti stres dengan pembelajaran dalam talian dan Demam Kabin,” katanya.

Akhbar juga melaporkan kes penderaan mental dan seksual terhadap kanak-kanak meningkat sepanjang pelaksanaan PKP. Justeru, ibu bapa dan masyarakat perlu menyedari gangguan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak sedang berlaku dan akan terus meningkat sekiranya tiada intervensi atau rawatan bagi membantu mereka.

“Kanak-kanak golongan mudah terjejas dari segi emosi dan tingkah laku mereka kerana fitrah mereka yang mentah dalam mendepani cabaran kehidupan. Keupayaan kanak-kanak menyerap dan mengurus tekanan tidak sama seperti orang dewasa.

Dr Syed Mohamad berkata, kefahaman kanak-kanak terhadap batasan pergerakan dan keperluan penyesuaian normal baharu ini juga berbeza antara satu sama lain bergantung kepada tahap pengetahuan dan kematangan mereka.

Kefahaman ini mempengaruhi kesediaan mereka berhadapan norma baharu. Mereka mungkin mengetahui bahaya Covid-19 di luar sana dan tidak boleh lagi bebas keluar rumah seperti sebelum ini.

“Pada pengamatan saya, pelaksanaan PKP atau pergerakan terbatas ini memberi dua impak besar dalam rutin kebiasaan kanak-kanak iaitu keupayaan pembelajaran dan perkembangan interpersonal (sosial) mereka. Meskipun belum ada kajian menyeluruh terhadap kesan PKP terhadap kesihatan mental kanak-kanak namun maklum balas awal diterima melalui sikap dan tingkah laku mereka menunjukkan golongan ini terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Antara aspek kerap diperkatakan adalah tindak balas dan penerimaan kanak-kanak terhadap pembelajaran dalam talianIsu pembelajaran dalam talian bukan sahaja memberi tekanan kepada kanak-kanak tetapi juga kepada ibu bapa yang gusar dan bimbang terhadap senario itu terutama menjelang peperiksaan.

“Kanak-kanak juga mengalami perubahan dari segi corak pergaulan mereka dengan rakan sebaya. Hal ini boleh menjejaskan kemahiran interpersonal atau keterampilan sosial mereka jika berterusan dalam tempoh yang lama. Kedua-dua aspek ini boleh mempengaruhi kesihatan mental kanak-kanak,” jelasnya.

Mengulas lanjut kegiatan kanak-kanak yang tidak bebas seperti sebelumnya yang mengundang kanak-kanak menjadi murung, Dr Syed Mohamad berkata, setiap individu mengambil masa menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan.

“Keupayaan menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan berbeza antara individu. Golongan kanak-kanak melalui perubahan normal kehidupan ini dengan penuh cabaran. Sepanjang pelaksanaan PKP, kanak-kanak ‘terperangkap’ dalam situasi pergerakan terbatas untuk satu tempoh lama. Senario ini juga dikenali sebagai¬†Cabin Fever¬†atau Demam Kabin.

“Demam Kabin merujuk kepada situasi individu mengalami perubahan emosi akibat bosan atau rasa tidak seronok apabila terperangkap di satu tempat dalam tempoh yang agak lama. Senario ini menjelaskan bahawa emosi negatif akan muncul sebagai tindak balas psikologi individu terhadap situasi itu.

Justeru, Dr Syed Mohamad berkata, kanak-kanak terkurung dalam rumah sepanjang tempoh PKP berisiko memberi reaksi negatif dari sudut emosi dan tingkah laku mereka sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Perkembangan interpersonal (sosial) ini diperoleh dengan banyak apabila mereka hadir ke sekolah dan menghabiskan masa lapang bersama rakan. Namun apabila mereka tidak lagi bebas seperti keadaan sebelumnya, maka hal ini memberi tekanan dan boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka.

Perubahan emosi dan tingkah laku kanak-kanak boleh berlaku dalam pelbagai bentuk akibat keadaan mereka yang tidak lagi dibenarkan bebas.

“Kanak-kanak boleh mengalami perasaan takut, murung, sedih, stres, terlalu sensitif, bersikap apatetik dan keliru dengan perubahan yang berlaku apabila tidak lagi dapat menjalani aktiviti kebiasaan mereka seperti sebelum ini.

Perubahan tingkah laku juga boleh berlaku seperti memberontak, tantrum, hiperaktif, argumentatif, destruktif, atau mengasingkan diri. Justeru, ibu bapa dan orang dewasa perlu sentiasa memantau perkembangan kanak-kanak ini sepanjang pelaksanaan PKP dan peka dengan simptom yang ditunjukkan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here