VAKSIN: Babitkan komuniti untuk tingkat kesedaran isu vaksin

0
85

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu kerangka kerja bagi membolehkan pemimpin masyarakat turut terbabit bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu imunisasi vaksin COVID-19.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata isu keyakinan masyarakat terhadap vaksin COVID-19 sangat penting, terutama dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula 26 Februari ini dilaksanakan dengan cekap.

Beliau berkata, melalui kerangka kerja itu, pemimpin masyarakat perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan KKM dan pihak berkuasa dalam memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai isu imunisasi.

Saranan ini, katanya, adalah sebahagian kaedah perlu dilakukan bagi membina keyakinan masyarakat terhadap vaksin COVID-19, sekali gus memastikan sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin itu bagi membina imuniti berkelompok, dapat dicapai.

“Sudah tentu tiada paksaan kepada mereka yang tidak mahu menerima vaksin ini.

“Tetapi pada masa sama, kerajaan perlu berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap vaksin COVID-19 supaya aspek penularan wabak ini dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Kadar keyakinan masyarakat di negara ini terhadap vaksin COVID-19 dapat dilihat melalui satu tinjauan dalam talian yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Disember lalu.

Sebanyak 67 peratus daripada 212,006 responden bersetuju menerima vaksin COVID-19, 16 peratus pula tidak bersetuju kerana khuatir dengan kesan sampingan, selain meragui kandungannya manakala 17 peratus lagi tidak pasti.

Lam Thye berkata, antara isu paling banyak menyebabkan ketidakyakinan masyarakat mengenai vaksin COVID-19 ialah sama ada suntikan itu selamat atau akan menjejaskan kesihatan mereka.

Justeru, beliau menyambut baik langkah kerajaan mempertimbangkan kewujudan skim khas kecederaan vaksin bagi menangani komplikasi serius seperti disebut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, sebelum ini.

“Kewujudan skim dapat memberi perlindungan kepada masyarakat, malah ia juga sudah dilaksanakan di Singapura,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here