Vaksin COVID-19: 1.74 juta sudah mendaftar menerusi MySejahtera

0
129

KUALA LUMPUR: Seramai 1,741,364 individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di aplikasi MySejahtera setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah terkini itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Berdasarkan data sama yang dikongsi itu, setakat semalam 53,287 individu membabitkan majoriti adalah petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin bagi fasa pertama yang bermula 24 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 9,737 individu, diikuti Perak (5,714), Pahang (5,696), Kuala Lumpur (5,601), Kelantan (4,593), Johor (4,430), Kedah (3,017) serta Terengganu, 2,438 individu.

Selangor pula merekodkan 2,047 individu menerima suntikan, sementara Negeri Sembilan (1,905), Pulau Pinang (1,821), Melaka (1,601), Sabah (1,317), Labuan (1,285), Perlis (1,057) dan Putrajaya, 1,028 individu.

Kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas diĀ www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahupun manual adalah sama merangkumi 18 langkah.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here