Wang pencen melebihi RM100,000 , bukan hasil dari duit haram

0
622

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, wang RM100,000 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Tan Sri Kasitah Gadam dua tahun lalu, adalah wang pencen milik bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi itu.

Peguamnya, Sasila Basri, dalam penghujahan berkata, wang yang disimpan dalam akaun Bank CIMB itu wujud sejak Kasitan pencen bermula 2004.

Beliau berkata, eksibit pendapatan anak guamnya menunjukkan ada kemasukan wang pencen dalam setahun melebihi RM100,000.

Katanya, afidavit anak guamnya menunjukkan pihaknya dapat mengesan pembayaran pencen dari 2010 sehingga melepasi 2012 yang mana dalam tempoh itu wujud dakwaan kemasukan wang daripada Datuk Seri Najib Razak.

“Pada 2010 , jumlah dalam akaun sudah melebihi RM100,000. Untuk rekod, beliau pesara kerajaan iaitu bekas menteri, oleh itu wang dalam akaun mencukupi untuk membuktikan akaun ini diwujudkan bagi wang pencen dan bukan menerima wang haram atau hasil aktiviti haram seperti dinyatakan pendakwaan.

“Tiada penafian anak guam saya mengaku menerima wang itu daripada Perdana Menteri (ketika itu) yang sudah digunakan untuk pilihan raya setahun selepas itu. Wang berkenaan diterima pada 2 Februari 2012.

“Ini jelas menunjukkan wang dalam akaun itu milik sepenuhnya responden yang tidak dicabar oleh pendakwaan.

“Kami memohon permohonan melucut hak ini ditolak kerana ia menyebabkan prejudis kepada anak guam saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Haslinie Hashim berhujah, jika mahkamah melihat ia bukan hasil aktiviti haram seperti didakwa responden dan sudah digunakan, mahkamah berkuasa mengeluarkan perintah kewangan.

Beliau berkata, perintah mengikut Seksyen 59 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 menetapkan responden dikehendaki membayar semula wang itu kepada kerajaan dan perintah penalti bahawa amaun itu sama dengan yang diterima responden.

Katanya, Najib sudah didakwa melalui tuduhan pengubahan wang haram, dan ia mencukupi bagi mahkamah berpuas hati bahawa satu kesalahan predikat sudah berlaku bagi permohonan melucut hak oleh pendakwaan.

“Kami menyatakan tiada bukti kukuh wang itu digunakan untuk pilihan raya dan tiada afidavit sokongan daripada Najib untuk mengesahkan perkara itu.

“Jika itu wang pencen, sudah tentu responden akan menggunakan wang itu, ” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, menetapkan 24 Julai bagi memutuskan permohonan Pendakwa Raya melucut hak wang berkenaan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dalam satu sidang media tahun lalu, berkata pihaknya memfailkan permohonan untuk melucut hak harta terhadap 41 responden bagi memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan undang-undang itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here