Warga emas rentung dalam kebakaran

0
51

KINABATANGAN: Seorang wanita warga emas berusia 76 tahun ditemui rentung selepas rumahnya di Kampung Namukon, Jalan Pinangah, Tongod di sini, musnah terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Yang Gimbo rentung selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10 malam menerusi talian MERS 999.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 170 kilometer.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan Hairul Jamal bersama enam anggota penyelamat dengan kekuatan sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan van unit kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Menurut komander operasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 55 meter persegi musnah 100 peratus.

“Terdapat seorang mangsa wanita rentung di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 1.04 tengah malam sebelum operasi tamat sepenuhnya 23 minit selepas itu.

Katanya, bahagian forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca dan anggaran kerugian dalam kejadian berkenaan.

Sumber-Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here