0
39

Pengeluar produk minuman jenama Ameen, Ameen Products Sdn Bhd yakin masih mampu merekodkan peningkatan dalam jumlah jualan dua jenis produknya pada tahun ini berbanding 2019.

Pengarah Urusannya, Mohammed Irfan Amanulla berkata, meskipun berada dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang kurang menerima impak krisis Covid-19, kesan pandemik itu tetap dirasai terutama sewaktu peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun, perniagaannya kembali stabil menjelang akhir April lalu khususnya sepanjang Ramadan yang secara tidak langsung mencatatkan jualan lebih positif dan konsisten sehingga kini.

“Jumlah jualan keseluruhan bagi produk Ameen pada tahun lalu adalah sekitar 1.2 juta botol merangkumi kedua-dua jenis produk kita iaitu pekatan berperisa dan kordial.

“Pada tahun ini kita sasarkan 1.4 juta botol pelbagai jenis dan perisa berjaya direkodkan menjelang akhir tahun ini, peningkatan antara 15 hingga 18 peratus berbanding tahun lalu.

“Keyakinan kita disokong bukan saja oleh angka jualan yang lebih baik setakat ini malah kini kami juga giat memasarkan produk secara dalam talian sejak Mac lalu yang menampakkan maklum balas cukup memberangsangkan,” katanya kepada Harian Metro.

Mohammed Irfan berkata, beliau turut lega apabila pandemik Covid-19 khususnya pelaksanaan PKP masih membolehkannya meneruskan operasi perniagaan tanpa perlu memberhentikan pekerja.

Katanya, inisiatif Program Subsidi Upah oleh kerajaan sedikit sebanyak membantunya meneruskan pembayaran gaji secara penuh kepada semua kakitangan bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah.

“Di kilang Ameen kita mempunyai lebih kurang 13 kakitangan bergaji bawah RM4,000 dan Alhamdulillah permohonan untuk Program Subsidi Upah diluluskan untuk mereka.

“Subsidi ini memang sangat membantu lebih-lebih lagi apabila ada beberapa kakitangan kami yang terpaksa dicutikan kerana mereka tinggal serumah dengan kakitangan perubatan.

“Subsidi ini membolehkan mereka terus memiliki pekerjaan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Irfan berkata, pihaknya dalam proses untuk menghasilkan jus dengan jangkaan empat perisa dikeluarkan.

Langkah itu sedikit sebanyak diharap mempengaruhi perancangan syarikat untuk menguasai pasaran lebih luas di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun depan.

“Secara keseluruhan kita mempunyai sembilan pekatan berperisa dan dua kordial. Bezanya adalah pekatan berperisa tiada gula yang disasar untuk kegunaan restoran, katerer atau hotel manakala kordial mempunyai gula jadi sesuai untuk kegunaan di rumah.

“Bagi jus pula yang dirancang untuk empat perisa iaitu mangga, oren, kiwi dan anggur, kita sasarkan kepada mereka yang on the go, tidak perlukan sebarang bancuhan sebaliknya boleh terus diminum.

“Apabila semua produk ini berada di pasaran, kita harap daripada satu juta botol jualan yang direkodkan saban tahun dapat melonjak kepada 10 juta dalam masa beberapa tahun lagi.

“Kita juga menyasar memasuki pasaran Myanmar pada tahun depan atau 2022 sebelum cuba menembusi pasaran beberapa negara jiran seperti Thailand dan Indonesia selepas itu,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here