Zoo Negara bakal wujud konsep zoo maya

0
61

KUALA LUMPUR: Zoo Negara merancang mewujudkan ‘zoo maya’ sebagai usaha untuk meneruskan kelangsungan operasinya.

Timbalan Presiden Zoo Negara, [email protected] Ahmat Lana, berkata konsep bakal ditampilkan itu dilihat memberi kesan signifikan dengan keadaan negara yang masih dilanda COVID-19.

Beliau berkata, menerusi konsep itu pencinta haiwan boleh melihat pelbagai spesies di Zoo Negara melalui konsep maya di seluruh dunia.

Katanya, konsep itu juga mampu menjadi platform terbaru untuk memastikan Zoo Negara terus beroperasi dengan hasil kutipan bayaran daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada pengunjung.

“Sejak pandemik COVID-19, pihak zoo hanya dapat beroperasi beberapa kali dalam tempoh singkat, sebelum diarahkan tutup oleh kerajaan bagi mengelak penularan.

“Jadi, menerusi konsep zoo maya ini, orang ramai boleh melihat haiwan menerusi platform maya tanpa perlu datang ke Zoo Negara.

“Konsep ini dilihat mampu menjana pendapatan baharu kepada Zoo Negara supaya tidak terus terkesan jika tidak dapat beroperasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, konsep berkenaan masih lagi diperhalusi dan beberapa syarikat akan mengemukakan kertas kerja untuk dinilai dari segi kos dan keberkesanannya.

Mengenai operasi Zoo Negara, Rosly berkata dana yang dimiliki kini semakin menyusut dan hanya mampu bertahan sehingga awal Mei depan.

Katanya, sumbangan orang ramai masih diterima pihaknya, namun diharap ia boleh ditingkatkan kerana kos operasi bulanan mencecah RM1 juta.

“Setakat ini dana yang ada masih dapat menampung operasi lebih 4,000 haiwan di sini dan membayar gaji pekerja selain bayaran lain.

“Namun, diharap jika ada pihak yang mahu menyalurkan bantuan dana boleh berhubung terus dengan pihak Zoo Negara,” katanya.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum ini menyalurkan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, dilaporkan berkata, dana yang disalurkan bertujuan membantu menampung kos menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar bagi menghadapi kesan pandemik COVID-19.

KeTSA juga, katanya, sudah melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek bagi memastikan kebajikan hidupan liar di semua Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) terus terpelihara.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here